Jumaat, 6 Februari 2015

Puteri cadang yuran PIBG ditanggung kerajaan


KUALA LUMPUR 6 Jan. – Pergerakan Puteri UMNO hari ini mencadangkan agar kerajaan menanggung sepenuhnya yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) anak mangsa-mangsa yang terjejas banjir bagi meringankan bebanan ibu bapa mereka.

Ketuanya, Datuk Mas Ermie-yati Samsudin berkata, langkah melegakan itu membolehkan peruntukan wang yang dikhaskan untuk membayar yuran PIBG dapat digunakan bagi memenuhi keperluan lain yang lebih mendesak selepas bencana berakhir.

“Jika yuran PIBG sekadar ditangguhkan, ibu bapa terutama mereka yang mempunyai anak yang ramai tetap menanggung bebanan itu dan tidak mampu untuk membayar pada bulan-bulan akan datang berikutan situasi sukar yang dihadapi dalam membina kehidupan baharu selepas kehilangan rumah dan harta benda akibat banjir.

“Puteri UMNO yakin jika cadangan itu dilaksana, ia akan menjadi satu hadiah yang sangat bermakna untuk mangsa banjir khususnya keluarga yang terjejas teruk akibat bencana alam itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Kesatuan Per­khidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan yuran persekolahan dan PIBG bagi anak mangsa-mangsa banjir ditangguhkan sehingga pertengahan atau akhir tahun ini bagi meringankan beban ibu bapa mereka.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, yuran PIBG yang kebia­saannya berjumlah antara RM50 hingga RM200 untuk seorang pelajar bukan satu jumlah yang kecil terutama bagi keluarga yang langsung tidak berkemampuan kerana mengalami kerugian yang besar apabila segala harta benda musnah akibat banjir.

Jelasnya, pihak kerajaan dan PIBG sekolah wajar memberi perhatian terhadap perkara tersebut kerana kutipan yuran berkenaan bukan faktor prestasi kejayaan sebuah PIBG.

Sehubungan itu, PIBG dilihat dapat membantu kerajaan de­ngan mengurangkan jumlah yuran tersebut terutama ketika beberapa buah negeri di negara ini dilanda bencana berkenaan.

“PIBG bukan satu badan korporat yang perlu memikirkan keuntungan untuk tabung itu semata-mata. Prestasi PIBG setiap sekolah juga bukan diukur pada kemewahan jumlah tabung sebaliknya dilihat daripada aspek kejayaan pelajar-pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum.

“Usaha ini hanyalah sebagai salah satu langkah bagi meri­ngankan beban mangsa banjir dan pihak lain harus turut menyumbang kerana kita tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan untuk menguruskan soal pendidikan,” katanya.

Beliau turut meminta syarikat-syarikat swasta supaya tampil menghulurkan bantuan alat tulis, buku dan pakaian seragam sekolah kepada pelajar yang terlibat dengan bencana itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...